Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 · Updated to 5 Feb 2024 · Bahagian XII
362. Larangan tentang penggunaan gelaran tertentu
Feedback & supportSeseorang yang bukan organisasi peserta atau suatu gabungan tidak boleh mengambil atau menggunakan atau secara inferens menerima pakai nama, gelaran atau perihalan “organisasi peserta” atau “gabungan”, atau mengambil atau menggunakan atau melekatkan atau mempamerkan di mana-mana tempat apa-apa nama, gelaran atau perihalan yang membayangkan atau berkecenderungan mewujudkan kepercayaan bahawa orang itu ialah seorang organisasi peserta atau suatu gabungan.
Melainkan jika Suruhanjaya membenarkan selainnya, seseorang yang bukan suatu syarikat pemegangan bursa, suatu bursa saham atau suatu bursa derivatif tidak boleh mengambil atau menggunakan atau secara inferens menerima pakai nama, gelaran atau perihalan “syarikat pemegangan bursa”, “bursa saham”, “bursa derivatif”, “pasaran saham”,
“pasaran derivatif”, “pasaran perdagangan sekuriti” atau “pasaran dagangan derivatif”, atau mengambil atau menggunakan atau melekatkan atau mempamerkan di mana-mana tempat apa-apa nama, gelaran atau perihalan yang membayangkan atau berkecenderungan mewujudkan kepercayaan bahawa orang itu ialah suatu syarikat pemegangan bursa, bursa saham atau bursa derivatif .
Seseorang yang bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran
Modal atau Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal tidak boleh mengambil atau menggunakan atau melekatkan atau mempamerkan di mana-mana tempat gelaran yang mewujudkan kepercayaan bahawa orang itu dilesenkan untuk menjalankan urusan atau melakukan apa-apa fungsi berhubung dengan mana-mana aktiviti terkawal sebagaimana yang ditentukan dalam Jadual 2.