Skip to content

Seksyen 69

Pendengaran rayuan

of Akta Mahkamah Kehakiman 1964

ActIn forceProvision 66 of 99
Seksyen 69
(1)

Rayuan kepada Mahkamah Rayuan hendaklah dengan cara pendengaran semula, dan berhubung dengan rayuan itu Mahkamah Rayuan hendaklah mempunyai segala kuasa dan kewajipan Mahkamah Tinggi tentang pindaan atau selainnya, serta kuasa budi bicara sepenuhnya untuk menerima keterangan lanjutan melalui pemeriksaan lisan di dalam mahkamah, melalui afidavit, atau melalui deposisi yang diambil di hadapan seorang pemeriksa atau pesuruhjaya.

(2)

Keterangan lanjutan itu boleh diberikan tanpa kebenaran atas permohonan interlokutori, atau dalam mana-mana hal tentang perkara yang telah berlaku selepas tarikh keputusan yang terhadapnya rayuan itu dibawa.

(3)

Dalam rayuan terhadap sesuatu penghakiman, selepas perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara tentang meritnya, keterangan lanjutan itu, kecuali tentang perkara yang kemudian seperti yang disebut terdahulu, boleh diterima atas alasan khas sahaja, dan tidak tanpa kebenaran Mahkamah Rayuan.

(4)

Mahkamah Rayuan boleh membuat inferens fakta, dan memberikan apa-apa penghakiman, dan membuat apa-apa perintah yang sepatutnya telah diberikan atau dibuat, dan membuat apa-apa perintah lanjutan atau perintah lain sebagaimana yang dikehendaki oleh kes itu.

(5)

Kuasa yang disebut terdahulu boleh dijalankan walaupun notis rayuan itu berhubungan hanya dengan sebahagian daripada keputusan itu, dan kuasa itu boleh juga dijalankan dengan memihak kepada kesemua atau mana-mana responden atau pihak walaupun responden atau pihak itu tidak merayu terhadap atau mengadu tentang keputusan itu.