Apabila mana-mana orang didapati atau dipercayai dengan munasabahnya menggunakan suatu kenderaan yang berkaitan berlanggaran dengan Akta ini atau mana-mana perintah, larangan atau sekatan yang dibuat di bawahnya, atau berlanggaran dengan terma lesen atau lesen pengendali bagi kenderaan yang berkaitan itu, mana-mana pegawai polis, mana-mana pegawai pengangkutan jalan yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh
*Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai pengangkutan awam darat yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah
Pengangkutan Awam Darat boleh, apabila ternyata bahawa kenderaan yang berkaitan itu atau pemandunya tidak dapat dikenal pasti secukupnya atau bahawa tindakan itu adalah perlu untuk menyebabkan kesalahan itu tidak diteruskan, mengambil atau menyebabkan supaya diambil atau menghendaki orang yang menjaga kenderaan yang berkaitan itu untuk membawa kenderaan yang berkaitan itu ke suatu tempat yang selamat, dan kenderaan yang berkaitan itu hendaklah disimpan di situ sehingga dilepaskan oleh perintah Majistret, Ketua
Pegawai Polis, Pengarah bagi Pengangkutan Jalan atau Ketua
Pengarah Pengangkutan Awam Darat, dengan syarat bahawa dan tertakluk pada subseksyen (3), kenderaan yang berkaitan itu tidak boleh ditahan lebih lama daripada yang perlu untuk memastikan identiti pemandu itu atau untuk memastikan kesalahan itu tidak diteruskan, dan jika mana-mana orang enggan atau abai untuk mematuhi mana-mana kehendak itu, dia melakukan suatu kesalahan dan boleh dalam hal sabitan pertama, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan
*CATATAN—Takrif “Ketua Pengarah” telah digantikan dengan takrif “Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan”
melalui pindaan di bawah seksyen 3 Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018 [Akta A1574].
Walau bagaimanapun, Akta A1574 tidak memperuntukkan arahan penggubalan untuk memasukkan perkataan “Pengangkutan Jalan” selepas perkataan “Ketua Pengarah” dalam subseksyen 81(1)
Akta ini sebagaimana arahan penggubalan yang meminda seksyen 23, 42, 58 dan 73 Akta ini.
106 Undang-Undang Malaysia AKTA 715
dan, dalam hal sabitan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi empat ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.
Seseorang yang tidak dibenarkan yang mengalihkan atau menyebabkan supaya dialihkan kenderaan yang berkaitan itu dari tempat yang selamat itu melakukan suatu kesalahan dan boleh dalam hal sabitan pertama, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan, dalam hal sabitan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi empat ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.
Mana-mana kenderaan yang berkaitan yang telah dialihkan mengikut subseksyen (1), boleh ditahan di mana-mana tempat yang sesuai dan disimpan di situ atas risiko pemunyanya sehingga apa-apa fi yang ditetapkan bagi pengalihan dan penahanan itu dibayar.
Apabila mana-mana kenderaan yang berkaitan ditahan di bawah seksyen ini, pegawai yang menahan kenderaan yang berkaitan itu hendaklah dengan seberapa segera yang munasabah, memberikan notis bertulis mengenai penahanan itu kepada pemunya kenderaan yang berkaitan itu jika nama dan alamat pemunya itu diketahuinya, dan jika kenderaan yang berkaitan itu tidak dituntut oleh pemunyanya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penahanannya, pegawai itu boleh, setelah memberikan notis satu bulan dalam Warta mengenai niatnya untuk berbuat demikian, menjual melalui lelong awam atau selainnya melupuskan kenderaan yang berkaitan itu dan muatannya (jika ada), dengan syarat bahawa tiada notis sedemikian perlu diberikan dalam hal apa-apa muatan yang bersifat cepat rosak.
Hasil, jika ada, daripada penjualan atau pelupusan kenderaan yang berkaitan dan muatannya di bawah subseksyen (4) hendaklah digunakan untuk membayar apa-apa fi yang mungkin kena dibayar berkenaan dengan lesen atau lesen pengendali bagi kenderaan yang berkaitan itu dan apa-apa caj yang ditanggung dalam melaksanakan seksyen ini, dan lebihannya, jika ada, hendaklah dibayar kepada pemunya kenderaan yang berkaitan itu atau jika tidak dituntut oleh orang itu dalam tempoh dua belas bulan selepas tarikh penjualan atau pelupusan itu, hendaklah terlucut hak kepada Kerajaan Persekutuan.
Pengangkutan Awam Darat 107