Skip to content

Bahagian IV · Obligasi Pelaporan

21. Obligasi pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan atau pihak berkuasa pelesenan

Feedback & support
(1)

Pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan yang berkaitan bagi sesuatu institusi pelapor boleh—

(a)

mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah atau mengelak mana-mana orang yang tidak sesuai daripada mengawal, atau menyertai, secara langsung atau tidak langsung, dalam lembaga pengarah, pengurusan atau pengendalian institusi pelapor itu;

(aa)

memperoleh daripada institusi pelapor, atau pengarah, pegawai atau pekerja institusi pelapor itu apa-apa maklumat, dokumen, rekod atau laporan yang dianggapnya sesuai bagi mengawasi institusi pelapor itu daripada terdedah kepada risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan aktiviti terhad;

(b)

memeriksa dan mengawas institusi pelapor, dan mengawal selia dan menentusahkan, melalui pemeriksaan kerap, bahawa sesuatu institusi pelapor itu mematuhi peruntukan

Bahagian ini;

(c)

mengeluarkan garis panduan untuk membantu institusi pelapor dalam mengesan corak tabiat yang mencurigakan pada pelanggan mereka dan garis panduan itu hendaklah dibangunkan dengan mengambil kira teknik pengurusan wang yang moden dan selamat dan akan bertindak sebagai suatu alat pendidikan bagi pekerja institusi pelapor; dan

(d)

bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dan memberikan bantuan teknikal dalam mana-mana penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berhubung dengan mana-mana aktiviti haram atau kesalahan di bawah Akta ini.

54 Undang-Undang Malaysia AKTA 613

(1A)

Bagi maksud perenggan (1)(aa), institusi pelapor, atau pengarah, pegawai atau pekerja institusi pelapor itu hendaklah menyerahkan maklumat, dokumen, rekod atau laporan yang dikehendaki kepada pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan yang berkaitan bagi institusi pelapor itu dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan itu.

(2)

Pihak berkuasa pelesenan bagi sesuatu institusi pelapor boleh, atas syor pihak berkuasa berwibawa, membatalkan atau menggantung lesen institusi pelapor itu jika institusi pelapor itu telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta ini.

(3)

Pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan yang berkaitan hendaklah melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa berwibawa apa-apa maklumat yang diterima daripada mana-mana institusi pelapor berhubung dengan transaksi atau aktiviti yang mungkin ada hubungan dengan mana-mana aktiviti haram atau kesalahan di bawah Akta ini.

(4)

Mana-mana institusi pelapor, atau pengarah, pegawai atau pekerja institusi pelapor itu yang melanggar subseksyen (1A)

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit.

Report

Bahagian V

Penyiasatan

Bahagian VI

Pembekuan, Penyitaan dan Pelucuthakan

Bahagian VII

Pelbagai

Schedules