Skip to content
In forceUpdated to 26 Nov 2024Read it in English

Bahagian IX · Penguatkuasaan

45. Penggeledahan dan penyitaan dengan waran

Feedback & support
(1)

Jika ternyata pada seseorang Majistret, berdasarkan maklumat bertulis dengan bersumpah daripada pegawai diberi kuasa dan selepas apa-apa siasatan sebagaimana yang difikirkannya perlu, bahawa terdapat sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan di bawah Akta ini sedang atau telah dilakukan di dalam mana-mana premis, supaya apa-apa keterangan atau benda yang perlu untuk menjalankan suatu penyiasatan mengenai suatu kesalahan boleh didapati di dalam mana-mana premis, Majistret boleh mengeluarkan suatu waran yang memberikan kuasa kepada mana-mana pegawai diberi kuasa yang dinamakan dalam waran itu untuk memasuki premis itu pada bila-bila masa, dengan atau tanpa bantuan, dan jika perlu dengan menggunakan kekerasan untuk menggeledah dan menyita apa-apa keterangan atau benda itu.

(2)

Seseorang pegawai diberi kuasa yang memasuki mana-mana premis di bawah seksyen ini boleh membawa bersama-samanya mana-mana orang lain dan apa-apa kelengkapan yang ternyata pada pegawai diberi kuasa itu perlu dan apabila meninggalkan mana-mana premis yang telah dimasukinya menurut waran di bawah subseksyen yang terdahulu dia hendaklah, jika premis itu tidak dihuni atau penghuni tidak ada buat sementara waktu, meninggalkan premis itu dalam keadaan yang betul-betul selamat daripada penceroboh sebagaimana keadaan premis itu didapati olehnya.

(3)

Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), waran yang dikeluarkan oleh Majistret boleh memberikan kuasa penggeledahan dan penyitaan apa-apa dokumen, rekod, data berkomputer, data berdigital, pelan, lukisan, bahan, loji, kelengkapan, jentera, barang, produk menggunakan tenaga, produk, label, item atau benda yang mengandungi atau dengan semunasabahnya disyaki mengandungi maklumat tentang apa-apa kesalahan yang disyaki telah dilakukan atau selainnya perlu untuk menjalankan suatu penyiasatan bagi apa-apa kesalahan.

Kecekapan dan Konservasi Tenaga 43

(4)

Seseorang pegawai diberi kuasa yang menjalankan penggeledahan di bawah subseksyen (1) boleh, bagi maksud menyiasat kesalahan itu, memeriksa mana-mana orang yang berada di dalam atau di premis itu.

(5)

Pegawai diberi kuasa yang membuat pemeriksaan seseorang di bawah subseksyen (4) atau seksyen 46 boleh menyita, atau mengambil milikan, dan menyimpan dalam jagaan selamat semua benda selain pakaian yang perlu, yang dijumpai pada orang itu, dan apa-apa benda lain, yang baginya ada sebab untuk mempercayai merupakan peralatan atau keterangan lain bagi kesalahan itu, dan benda itu boleh ditahan sehingga suatu perintah dikeluarkan oleh mahkamah bagi pelupusannya.

(6)

Tiada seorang pun boleh diperiksa kecuali oleh seseorang lain yang sama jantina, dan pemeriksaan sedemikian hendaklah dijalankan dengan penuh kesopanan.

(7)

Jika, oleh sebab jenis, saiz atau amaunnya, adalah tidak praktik untuk memindahkan apa-apa dokumen, rekod, data berkomputer, data berdigital, pelan, lukisan, bahan, loji, kelengkapan, jentera, barang, produk menggunakan tenaga, produk, label, item atau benda yang disita di bawah seksyen ini, pegawai diberi kuasa yang menyita itu hendaklah dengan apa-apa cara mengelak dokumen, rekod, data berkomputer, data berdigital, pelan, lukisan, bahan, loji, kelengkapan, jentera, barang, produk menggunakan tenaga, produk, label, item atau benda di dalam premis atau bekas yang di dalamnya ia dijumpai.

(8)

Seseorang yang, tanpa kuasa yang sah, memecahkan, mengganggu atau merosakkan lak yang disebut dalam subseksyen (7) atau memindahkan apa-apa dokumen, rekod, data berkomputer, data berdigital, pelan, lukisan, bahan, loji, kelengkapan, jentera, barang, produk menggunakan tenaga, produk, label, item atau benda yang dilak atau cuba untuk berbuat demikian melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Report