Akta Syarikat 2016 · Updated to 31 Jan 2025 · Bahagian IV · Pemberhentian Syarikat
459. Mesyuarat terakhir dan pembubaran
Feedback & supportSebaik sahaja hal ehwal syarikat digulung dengan sepenuhnya, penyelesai hendaklah—
menyediakan suatu laporan yang menunjukkan bagaimana penggulungan itu dijalankan dan harta syarikat itu dilupuskan; dan
memanggil suatu mesyuarat anggota syarikat itu, atau dalam hal penggulungan sukarela pemiutang, suatu mesyuarat anggota syarikat itu dan pemiutang, bagi maksud membentangkan laporan itu di hadapan mesyuarat dan bagi memberikan apa-apa penjelasan.
Mesyuarat hendaklah dipanggil melalui iklan yang disiarkan dalam satu surat khabar yang diedarkan secara meluas di Malaysia dalam bahasa kebangsaan dan satu surat khabar yang diedarkan secara meluas di Malaysia dalam bahasa Inggeris, yang iklan itu hendaklah menyatakan masa, tempat dan tujuan mesyuarat dan hendaklah disiarkan sekurang-kurangnya tiga puluh hari sebelum mesyuarat.
Penyelesai hendaklah menyerah simpan dengan Pendaftar dan dengan Pegawai Penerima suatu penyata tentang mesyuarat yang diadakan dan tentang tarikhnya berserta suatu salinan pernyataan yang dilampirkan kepada penyata itu, dalam masa tujuh hari dari mesyuarat itu.
Kuorum dalam mesyuarat syarikat hendaklah dua anggota dan dalam mesyuarat syarikat dan pemiutang hendaklah dua anggota dan dua pemiutang dan jika suatu kuorum tidak hadir dalam mesyuarat itu, penyelesai hendaklah sebagai ganti kepada penyata yang disebut dalam subseksyen (3), menyerah simpan suatu penyata dengan dilampirkan pernyataan, bahawa mesyuarat itu telah dipanggil dengan sewajarnya dan bahawa tiada kuorum yang hadir, dan apabila penyata sedemikian diserah simpan, peruntukan subseksyen (3) mengenai penyerahsimpanan penyata itu hendaklah disifatkan telah dipatuhi.
530 Undang-Undang Malaysia AKTA 777
Apabila tamat tempoh tiga bulan selepas penyerahsimpanan penyata dengan Pendaftar dan dengan Pegawai Penerima, syarikat hendaklah dibubarkan.
Walau apa pun subseksyen (5), Mahkamah boleh, atas permohonan penyelesai atau mana-mana orang lain yang didapati oleh
Mahkamah mempunyai kepentingan, membuat suatu perintah yang menangguhkan tarikh pembubaran syarikat itu berkuat kuasa selama apa-apa tempoh sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
Orang yang atas permohonannya suatu perintah Mahkamah di bawah seksyen ini dibuat hendaklah menyerah simpan dengan
Pendaftar dan dengan Pegawai Penerima suatu salinan pejabat perintah itu dalam masa empat belas hari dari pembuatan perintah itu dan orang yang tidak berbuat demikian melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Jika penyata atau salinan laporan tidak diserah simpan sedemikian mengikut subseksyen (3), penyelesai melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Penyelesai yang gagal memanggil mesyuarat sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.