Criminal Procedure Code · Updated to 1 May 2023 · Bab V · Proses untuk Memaksa Kehadiran
44. Proklamasi bagi orang yang melarikan diri
Feedback & supportJika mana-mana Mahkamah mempunyai sebab untuk mempercayai, sama ada selepas mengambil keterangan atau tidak, bahawa mana-mana orang yang terhadapnya waran telah dikeluarkan oleh Mahkamah itu telah melarikan diri atau sedang menyembunyikan dirinya supaya waran itu tidak dapat dilaksanakan, Mahkamah itu boleh menyiarkan suatu proklamasi bertulis yang menghendakinya supaya hadir di suatu tempat yang dinyatakan dan pada suatu masa yang dinyatakan tidak kurang daripada tiga puluh hari dari tarikh penyiaran proklamasi itu.
Proklamasi itu hendaklah disiarkan seperti yang berikut:
ia hendaklah dibacakan kepada orang awam di suatu tempat yang mudah dilihat di bandar, desa atau kampung yang di dalamnya atau yang berdekatan dengannya orang itu biasanya tinggal;
ia hendaklah ditampalkan pada suatu bahagian yang mudah dilihat di rumah atau tempat lain yang di dalamnya orang itu biasanya tinggal atau di suatu tempat yang mudah dilihat di bandar, desa atau kampung; dan
suatu salinannya hendaklah ditampalkan pada suatu bahagian yang mudah dilihat di bangunan Mahkamah itu.
Suatu pernyataan secara bertulis oleh Mahkamah yang mengeluarkan proklamasi itu yang bermaksud bahawa proklamasi itu telah disiarkan dengan sewajarnya pada hari yang dinyatakan hendaklah menjadi keterangan muktamad bahawa kehendak seksyen ini telah dipatuhi dan bahawa proklamasi itu telah disiarkan pada hari itu.
Kanun Tatacara Jenayah 57