Seksyen 18
Cara pengambilan masuk dan pengakusaksian
(1)
Seseorang yang menawarkan diri untuk diambil masuk ke dalam angkatan tetap hendaklah diberi suatu notis dalam borang yang ditetapkan yang membentangkan soalan untuk dijawab semasa pengakusaksian dan menyatakan syarat am pertugasan yang akan dibuat olehnya; dan seseorang Majistret atau pegawai merekrut tidak boleh mengambil masuk mana-mana orang ke dalam angkatan tetap melainkan jika dia berpuas hati bahawa orang itu telah diberi notis itu, memahaminya dan mahu diambil masuk.
(2)
Tatacara bagi mengambil masuk seseorang ke dalam angkatan tetap hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama kepada Akta ini.
(3)
Seseorang pegawai merekrut tidak boleh mengambil masuk mana-mana orang yang berumur kurang daripada tujuh belas tahun setengah tanpa keizinan bertulis ibu bapa atau penjaganya.
Akta Angkatan Tentera 33
(4)
Jika pegawai merekrut berpuas hati dengan pengemukaan salinan yang diperakui mengenai sesuatu catatan dalam daftar kelahiran, atau dengan apa-apa keterangan lain yang ternyata padanya mencukupi bahawa seseorang yang menawarkan diri untuk diambil masuk itu telah mencapai atau belum mencapai umur lapan belas tahun, orang itu hendaklah disifatkan bagi maksud Akta ini telah mencapai atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, belum mencapai umur itu.
(5)
Tarikh seseorang menandatangani akuan dan mengangkat sumpah yang ditetapkan dalam kertas pengakusaksian itu hendaklah disifatkan sebagai tarikh pengakusaksian orang itu.
(6)
Seseorang Majistret atau pegawai merekrut boleh pada bila-bila masa, jika berpuas hati bahawa sesuatu kesilapan dalam kertas pengakusaksian seseorang tidak begitu material sehingga boleh menyebabkan patut orang itu diberhentikan kerja, meminda kesilapan dalam kertas pengakusaksian itu, dan kertas yang dipinda itu hendaklah dengan itu disifatkan sebagai sah seolah-olah perkara yang dipinda telah menjadi sebahagian daripada perkara asal dalam kertas itu.
(7)
Jika ada kertas pendua pengakusaksian ditandatangani dan diakusaksikan, seksyen ini hendaklah terpakai bagi pendua itu, dan sekiranya apa-apa pindaan dibuat dalam sesuatu kertas pengakusaksian, pindaan itu hendaklah dibuat dalam kertas pendua pengakusaksian itu.