Seksyen 79
Pendedahan maklumat tanpa kebenaran
(1)
Tiap-tiap orang yang tertakluk pada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini yang mendedahkan tanpa kebenaran, sama ada secara lisan, bertulis, dengan semboyan atau melalui apa-apa jua cara lain, apa-apa maklumat yang atau yang berupa maklumat yang berguna kepada musuh boleh, apabila disabitkan oleh mahkamah tentera, dipenjarakan atau dikenakan apa-apa hukuman yang lebih ringan yang diperuntukkan oleh Akta ini.
84 Undang-Undang Malaysia AKTA 77
(2)
Dalam seksyen ini ungkapan “maklumat yang berguna kepada musuh” ertinya maklumat yang atau yang berupa maklumat mengenai apa-apa perkara yang maklumat mengenainya akan atau mungkin berguna secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu musuh, dan khususnya (tetapi tanpa menyentuh keluasan peruntukan yang disebut terdahulu) mengenai apa-apa perkara yang termasuk di bawah perenggan yang berikut iaitu sesuatu perkara yang maklumat mengenainya akan atau mungkin berguna seperti yang disebut terdahulu, iaitu:
(a)
bilangan, perihalan, persenjataan, alat kelengkapan, penempatan, pergerakan, persediaan pergerakan atau keadaan mana-mana angkatan tentera atau mana-mana angkatan yang bekerjasama dengannya;
(b)
apa-apa gerakan, gerakan yang dirancang atau persediaan pergerakan bagi mana-mana angkatan yang disebut terdahulu;
(c)
mana-mana sistem kriptograf, bantuan, proses, tatacara, penerbitan atau dokumen mana-mana angkatan yang disebut terdahulu;
(d)
mana-mana bungkusan, isyarat panggilan, kata jodoh, kata rahsia, kata laluan atau isyarat pengenalan;
(e)
apa-apa langkah bagi mempertahankan atau memperkukuh mana-mana tempat bagi pihak Seri Paduka Baginda;
(f)
bilangan, perihalan, kedudukan atau pergerakan mana-mana orang tahanan perang;
(g)
kelengkapan perang.