Skip to content
In forceUpdated to 31 Dec 2025Read it in English

Bahagian V · Pelesenan dan Pendaftaran

46. Pengarah dan pengurusan kanan pemberi kredit berlesen

Feedback & support
(1)

Suatu pemberi kredit berlesen hendaklah hanya melantik atau melantik semula mana-mana orang—

(a)

dalam hal suatu pemberi kredit berlesen yang dikawal selia oleh Suruhanjaya—

(i)

sebagai pengarahnya atau pengurusan kanannya jika orang itu telah memenuhi kehendak layak dan sesuai sebagaimana yang ditentukan oleh

Suruhanjaya di bawah seksyen 45; dan

(ii)

sebagai ketua eksekutifnya tertakluk kepada pemerolehan suatu kelulusan bertulis terdahulu

Suruhanjaya; atau

(b)

dalam hal suatu pemberi kredit berlesen yang dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan—

(i)

sebagai pengarahnya, pekongsinya atau pengurusan kanannya jika orang itu telah memenuhi kehendak layak dan sesuai sebagaimana yang ditentukan oleh Pendaftar di bawah seksyen 45; dan

(ii)

sebagai pengarahnya atau pekongsinya tertakluk kepada pemerolehan suatu kelulusan bertulis terdahulu Pendaftar.

(2)

Dalam hal suatu pemberi kredit berlesen yang dikawal selia oleh Suruhanjaya, pemberi kredit berlesen itu hendaklah memberikan suatu notis bertulis kepada Suruhanjaya mengenai pelantikan atau pelantikan semula pengarahnya.

(3)

Jika suatu perkara berbangkit sama ada seseorang telah mematuhi kehendak layak dan sesuai yang ditentukan di bawah seksyen 45, Suruhanjaya atau Pendaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah mempunyai budi bicara penuh untuk menentukan perkara itu.

(4)

Jika seorang pengarah, pekongsi atau pengurusan kanan kemudiannya menyedari bahawa dia tidak mematuhi kehendak layak dan sesuai yang ditentukan di bawah seksyen 45, dia hendaklah dengan serta-merta memaklumkan kepada pemberi kredit berlesen itu.

Kredit Pengguna 49

(5)

Jika seorang pengarah, pekongsi atau pengurusan kanan tidak mematuhi kehendak layak dan sesuai yang ditentukan di bawah seksyen 45, pemberi kredit berlesen itu hendaklah dengan serta-merta memecatnya daripada jawatan itu.

(6)

Tertakluk kepada seksyen 131, Suruhanjaya atau Pendaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh mengarahkan suatu pemberi kredit berlesen untuk memecat pengarah, pekongsi atau pengurusan kanan yang tidak mematuhi kehendak layak dan sesuai di bawah seksyen 45 dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya atau Pendaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(7)

Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam apa-apa kontrak perkhidmatan atau apa-apa perjanjian lain yang berhubungan dengan pelantikannya, pemecatan seorang pengarah, pekongsi atau pengurusan kanan di bawah subseksyen (5) atau (6) adalah menurut undang-undang dan sah dan pengarah, pekongsi atau pengurusan kanan yang dipecat di bawah subseksyen (5) atau (6) tidaklah berhak untuk menuntut apa-apa pampasan bagi pemecatan itu.

(8)

Suatu pemberi kredit berlesen yang dikawal selia oleh

Suruhanjaya hendaklah memberitahu Suruhanjaya secara bertulis bahawa pengarahnya atau pengurusan kanannya telah terhenti memegang jawatan dan bertindak atas keupayaan sedemikian dan sebab bagi pemberhentian itu dalam suatu tempoh yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

(9)

Suatu pemberi kredit berlesen yang dikawal selia oleh

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hendaklah memberitahu Pendaftar secara bertulis hakikat bahawa pengarahnya atau pekongsinya telah terhenti memegang jawatan dan bertindak atas keupayaan sedemikian tidak melebihi empat belas hari selepas pemberhentian itu.

(10)

Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1), (4), (5)

atau (9) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Undang-Undang Malaysia 50

Report

Bahagian VI

Perniagaan Kredit Islam

Bahagian VII

Pelakuan Perniagaan bagi Perlindungan Pengguna Kredit

Bahagian VIII

Pemeriksaan dan Penyiasatan

Bahagian IX

Penguatkuasaan

Bahagian X

Peruntukan Am

Schedules