Seksyen 44
Seksyen 44
(1)
Tiap-tiap orang yang tertakluk pada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini yang, semasa dalam tugas mengawal—
(a)
tidur di posnya;
(b)
dalam masa tidak bertugas di pos, tidur pada masa dia tidak dibenarkan tidur;
(c)
mabuk; atau
(d)
meninggalkan posnya tanpa diganti dengan sepatutnya atau tidak berada di mana-mana tempat dia ditugaskan untuk berada, melakukan suatu kesalahan terhadap seksyen ini.
(2)
Bagi maksud seksyen ini seseorang hendaklah disifatkan sebagai mabuk jika, oleh sebab pengaruh alkohol atau apa-apa dadah, sama ada hal itu sahaja atau berserta dengan apa-apa hal keadaan lain, dia tidak layak diamanahkan dengan tugasnya.
(3)
Tiap-tiap orang yang tertakluk pada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini yang memukul atau selainnya menggunakan kekerasan terhadap mana-mana orang dalam tugas mengawal, iaitu seorang anggota mana-mana angkatan tentera Seri
Paduka Baginda atau mana-mana angkatan yang bekerjasama dengannya, atau dengan mengugut hendak menggunakan kekerasan memaksa mana-mana orang itu membenarkannya atau mana-mana orang lain lalu, melakukan suatu kesalahan terhadap seksyen ini.
58 Undang-Undang Malaysia AKTA 77
(4)
Tiap-tiap orang yang melakukan suatu kesalahan terhadap seksyen ini boleh, apabila disabitkan oleh mahkamah tentera, dipenjarakan atau dikenakan apa-apa hukuman yang lebih ringan yang diperuntukkan oleh Akta ini:
Dengan syarat bahawa jika kesalahan itu tidak dilakukan semasa dalam perkhidmatan giat dia tidak boleh dipenjarakan selama tempoh melebihi dua tahun.
(5)
Sebutan dalam seksyen ini mengenai seseorang dalam tugas mengawal ialah sebutan mengenai seseorang yang—
(a)
ditempatkan di pos atau diperintahkan untuk meronda;
atau
(b)
menjadi anggota pasukan pengawal atau pasukan lain yang diadakan atau diperintahkan untuk meronda, bagi maksud melindungi mana-mana orang, premis atau tempat.
(6)
Peruntukan yang disebut terdahulu hendaklah terpakai berhubung dengan orang yang ditempatkan di pos atau diperintahkan untuk meronda, atau anggota sesuatu pasukan yang diadakan atau diperintahkan untuk meronda, bagi maksud mencegah atau mengawal jalan masuk ke mana-mana premis atau tempat atau jalan keluar darinya, atau bagi mengawal selia lalu lintas melalui jalan, jalan kereta api atau apa-apa pelayaran pedalaman, sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi orang dalam tugas mengawal.